Friday, October 8, 2010

AKHLAK DAN PERANANNYA DALAM MEMBINA MASYARAKAT BERTAMADUN

Agama Islam menganjurkan umatnya supaya memiliki akhlak yang baik. Pembinaan akhlak sangat penting kerana sesuatu bangsa atau Negara akan berjaya apabila warganya terdirinya daripada golongan yang berakhlak luhur. Akhlak adalah sifat-sifat dan perangai yang diumpamakan kepada manusia sebagai gambaran batin yang bersifat maknawi dan rohani. Dimana dengan gambaran itulah manusia dibangkitkan disaat hakikat segala sesuatu tampak di hari akhirat nanti.


Mengikut Kamus Dewan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, mentakrifkan akhlak sebagai budi pekerti, kelakuan, watak, pengetahuan berkaitan kelakuan dan tingkah laku manusia dan sebagainya sama ada baik atau jahat.


Manakala perkataan akhlak menurut Bahasa ialah: Perkataan akhlak berasal daripada perkataan ( al – akhlaaku ) iaitu kata jama’ daripada perkataan ( al – khuluqu ) bererti tabiat, kelakuan, perangai, tingkahlaku, matuah, adapt kebiasaan, malah ia juga bereti agama itu sendiri. Perkataan ( al – khulq ) ini di dalam Al – Quran hanya terdapat pada dua tempat sahaja, antaranya ialah :

Dan bahawa sesungguhnya engkau ( Muhammad ) mempunyai akhlak yang amat mulia.

( Al – Qalam : 4 )


Mengikut dari segi Istilah pula akhlak bermakna segala tingkah laku perbuatan yang telah menjadi adapt kebiasaan, apabila dilakukan tidak perlu lagi berfikir panjang setelah tingkah laku diamalkan sekian lama dan diterima masyarakat sebagai sebahagian dari cara hidup Menurut Islam pula ia bererti satu sifat atau sikap keperibadian yang melahirkan tingkah laku perbuatan manusia dalam usaha membentuk kehidupan yang sempurna berdsaarkan kepada prinsip-prinsip yang telah ditetapkan oleh Allah.


Sementara itu, Akhlak adalah kata jamak dari khuluk, yang kalau dihubungkan dengan manusia, maka khuluk lawan kata dari Kholq. Jasmani kalau tersusun dengan rapi dan baik maka disebut Husnul Kholoq ( baik ciptaanya ) yaitu gambaran Dhahirnya baik.


Begitu juga gambaran batin manusia apabila tersusun dari sifat-sifat yang indah, peribadi yang baik dan perilaku yang mulia maka gambaran Batinnya baik, dan itulah yang disebut Husnul Khuluk ( Akhlak yang baik ) . Gambaran batin itulah yang dilihat oleh Allah S.W.T.


Dari penjelasan ini menunjukkan bahawa potret jasmani seorang manusia darjatnya sama sekali tidak menyamai potret rohaninya. Dan demikian seseorang yang berakal serta beriman wajib untuk menyerahkan segala kemampuannya untuk meluruskan akhlaknya dan perilaku dengan perilaku yang dicintai oleh Allah S.W.T serta melaksanakan maksud dan tujuan dari terurusnya baginda Rasulallah S.A.W yang bersabda :

“ Sesungguhnya aku diutus hanya untuk menyempurnakan Akhlak “


Akhlak mulia adalah berasaskan amalan adab-adab yang baik dalam kehidupan seharian. Adab merupakan satu tatacara atau garis panduan melakukan sesuatu. Sekiranya adab ini sentiasa diamalkan, ia akan menjadi satu kebiasaan. Adab-adab yang digariskan oleh Islam perlulah diikuti dan diamalkan setiap masa kerana akhlak yang baik dan terpuji boleh dihasilkan melalui latihan dan didikan yang berterusan sehingga sebati dengan jiwa kita.


Besarnya kedudukan akhlak Islam sehinggakan hadis-hadis Rasulallah S.A.W merumuskan kedudukan akhlak sebagai :

Sesungguhnya aku dibangkitkan / diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.

Wahai Rasulallah, apakah Deen itu ? Baginda menjawab “ akhlak yang baik “.

Sesungguhnya orang yang paling baik akhlaknya ialah orang yang paling baik Deennya.

Soalan itu dikeukakan tiga kali berturut-turut kepada Nabi Muhammad (saw) dan jawapanya adalah sama, agama itu adalah akhlak yang baik.


Daripada hadis ini dapat kita perhatikan betapa eratnya hubungan antara agama dengan akhlak. Seolah-olah tidak ada pemisahan langsung antara kedua-duanya. Orang yang berakhlak mulia dikasihi oleh Allah (swt) dan RasulNya. Islam sangat menyanjungi penganut-penganutnya yang berakhlak mulia. Nabi Muhammad (saw) menganggap orang yang berakhlak mulia itu sebagai orang yang paling Baginda kasihi dan akan dapat duduk berdekatan sahabat-sahabanya pada hari kiamat nanti. Sabda Baginda :

Maksudnya :

Orang yang paling aku kasihi antara kamu dan yang paling dekat kedudukany denganku pada hari kiamat ialah orang yang paling baik akhlaknya.

( Riwayat Tirmizi )

Sebaliknya Nabi Muhamad (saw) pernah menegaskan bahawa orang yang buruk akhlaknya, walau banyak mana amalan baik, masih lagi dianggap buruk. Sabda Nabi Muhammad (saw) dalam sebuah hadis :

Maksudnya : Seorang perempuan sentiasa berpuasa di siang hari dan bangun solat di waktu malam tetapi buruk akhlaknya, beliau selalu menyakiti jiran tetangga dengan kata-katanya. Sabda baginda : “ Tidak ada kebaikan padanya, dia termasuk dalam golongan ahli neraka.


Daripada apa yang dikemukakan di atas, kita dapati bahawa hubungan akhlak dan agama akan semakin ketara kalau kita menginsafi bahawa agama mengajukan kepada manusia ukuran, nilai norma dan contoh perilaku utama dengan sikap mantap dan mutlak. Agama menampilkan konsep dosa dan pahala yang menjadi pendorong kearah amalan hidup berakhlak.


Dari segi sikap dan pembawakan diri pula, seorang yang berakhlak ialah orang yang memiliki budi yang luhur, berani, bermaruah, berdisipln, mempunyai etika kerja dalam segala bidang, baik politik, pentadiran, ekonomi, kemasyarakatan dan lain-lain.


Dr. Abdullah Darraz telah mengklasifikasikan akhlak amali Islam kepada lima kategori :

1. Akhlak fardiyah ( individu )

2. Akhlak usariyah ( kekeluargaan )

3. Akhlak ijtimaiyah ( kemasyarakatan )

4. Akhlak daulah ( Negara )

5. Akhlak diniyah ( agama dalam erti kata khusus )


Keseluruhan kategori ini menjadi bidang dan ruang cakupan akhlak Islam, bermula daripada pembentukan peribadi, keluarga, masyarakat hingga kepada pembentukan Negara, peradaban dan sebagainya.


Huraian tentang hubungan akhlak dengan agama dan usaha-usaha membentuk masyarakat yang berakhlak lebih jelas kalau kita mengetahui tujuan pengajaran akhlak dan Islam, induk keutamaan akhlak dan perincian akhlak yang terpuji yang hendak dikembangkan oleh Islam.


Para sarjana dan ahli fikir turut mengakui pentingnya peranan akhlak dalam membina keluhuran peribadi dan tamadun manusia. Akhlak yang mulia menjadi penggerak kepada kemajuan dan kesempurnaan hidup. Sebaliknya, akhlak yang buruk menjadi pemusnah yang berkesan dan perosak yang meruntuhkan kemanusiaan serta ketinggian hidup manusia di bumi ini.


Kepentingan akhlak dalam kehidupan dinyatakan dengan jelas dalam al-Duran menerusi berbagai-bagai pendekatan yang meletakkan al-Quran sebagai sumber pengetahuan mengenai nilai dan akhlak yang paling terang dan jelas. Pendekatan al-Quran dalam menerangkan akhlak yang mulia, bukan pendekatan teoritikal tetapi dalam bentuk konseptual dan penghayatan. Akhlak yang mulia dan akhlak yang buruk digambarkan dalam perwatakan manusia, dalam sejarah dan dalam realiti kehidupan manusia semasa al-Quran diturunkan.


Peranan akhlak itu adalah mempunyai pengaruh yang amat besar dalam masyarakat bertamadun. Ianya tidak ubah seperti satu sistem kehidupan ( al-din) yang bertujuan untuk memperkasakan dan memantapkan kalangsungan hidup tamadun manusia. Supaya manusia itu dapat hidup dalam keadaan yang harmoni dengan berlandaskan norma-norma agama yang sebenarnya. Akhlak juga akan mempengaruhi pembentukan akal manusia agar segala perkara yang dilakukan adalah atas dasar akal yang sempurna. Maka kemampuan manusia untuk mencegah dirinya dari hal-hal jelek dan keji itu merupakan hakikat akal, jadi hanya orang yang berakal luaslah yang mampu menguasai dirinya disaat marah dan tetap berakhlak dengan akhlak yang baik. Semakin luas akal seseorang maka akan semakin mampu untuk melawan dan menahan hawa nafsunya dari perbuatan yang tidak semestinya.


Mari kita melihat contoh peranan dan kepentingan akhlak dalam kepimpinan dan pembangunan umat Islam khususnya. Matlamat kepimpinan dan pembangunan umat menurut fikrah Islam ialah membawa manusia untuk melaksanakan segala tugas ibadahnya kepada Allah (sswt) dengan membangunkan segala potonsi serta keperluan duniawi dan ukhrawinya menurut nilai-nilai Islam. Sasaran kepimpinan dan pembangunan Islam ialah manusia itu sendiri dari segi individu, keluarga dan masyarakat supaya dapat dikembalikan kepada manusia, di semua peringkat itu, sebagai potensi dan ciri-ciri positif mereka untuk berperanan dengan sebaik-baiknya sebagai abdi dan khalifah di bumi Allah (swt) ini dalam bentuk pembangunannya.


Kepimpinan dan pembangunan menurut Islam hanya boleh dicapai dengan keupayaan Islam, ilmu dan akhlak yang ada pada pemimpin itu sendiri.


Lagi contoh peranan akhlak yang baik dalam membangunkan masyarakat yang bertamadun ialah misalnya dari aspek adab dan akhlak dalam menjalankan tugas. Islam telah menggariskan panduan dan peraturan yang boleh dijadikan bahan rujuk kepada manusia. Dalam mengharungi dunia pekerjaan yang mencabar, kita seharusnya patuh kepada tatacara atau adab menjalankan tugas yang telah digariskan dalam Islam. Memandangkan pekerjaan merupakan suatu pengalaman harian yang tidak boleh dielakkan dalam kehidupan bersosial, kita seharusnya berusaha menjadi pekerja contoh berdasarkan acuan yang telah disediakan oleh Islam.


Islam mewajibkan umatnya bekerja untuk memajukan diri, keluarga dan Negara. Dengan bekerja bukan sahaja dapat menyihatkan tubuh badan, malah dapat menjana ekonomi Negara dan ekonom diri sendiri. Orang yang bekerja dengan ikhlas bukan sahaja mendapat gaji semata-mata malah mendapat keredhaan Allah (swt) dengan ganjaran pahala yang besar. Pekerja yang bekerja dengan penuh komitmen, dedikasi, dan mengamalkan akhlak yang baik semasa bertugas pasti akan menjana ekonomi yang mantap dan menggalakkan pertumbuhan ekonomi Negara yang pesat. Seterusnya mewujudkan taraf hidup masyarakat yang lebih proaktif dan maju. Disinilah peranan akhlak mula menampakkan hasilnya dari aspek ruang lingkup pekerjaan.


Sejarah membuktikan bahawa sesebuah masyarakat itu yang inginkan kejayaan bermula daripada pembinaa sistem nilai yang kukuh yang dipengaruhi oleh unsur-unsur kebaikan yang terancar daripada aqidah yang benar. Masyarakat itu runtuh dan tamadunnya hanur disebabkan keruntuhan nilai-nilai dan akhlak yang terbentuk daripadanya. Justeru itu, akhlak mempunyai peranan yang penting di dam kehidupan dan dalam memelihara kemuliaan insan serta keluhuranya. Martabat manusia akan menurun setaraf haiwan sekiranya akhlak runtuh dan nilai-nilai murni tidak dihormati dan dihayati. Oleh kerana itu Rasulallah (saw) bersabda yang bermaksud :

“ Sesungguhnya aku diutuskan untuk melengkapkan akhlak yang mulia “

( Riwayat al- Baihaqi )


Apabila masyarakat hari ini tidak berakhlak seperti yang telah digariskan oleh Islam maka kesanya timbul lah pelbagai-bagai kesan negatif yang menjadi barah dalam masyarakat dan meruntuhkan nilai-nilai moral dikalangan umat Islam tika ini. Saban hari kita dihidangkan dengan pelbagai kes-kes keruntuhan moral terutamanya yang melibatkan anak remaja, misalnya kes ragut, bunuh, dadah, rompak, buang bayi, rogol, pecah amanah dan sebagainya lagi. Semakin hari kes-kes sebegini menjadi semakin sukar untuk dibendung yang mana akhirnya akan menjadi barah dalam masyarakat Islam. Begitulah betapa besarnya pengaruh akhlak dalam pembentukan sesuatu pembinaan masyarakat bertamadun. Ianya merupakan satu proses yang panjang dan kesannya tidak dapat dilihat dalam masa yang singkat. Semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing dan ianya tidak lain dengan kembali kepada ajaran dan nilai-nilai Islam yang sebenar.


Pada awal pertengahan tahun yang lalu, sesi pendaftaran baru di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) rancak berjalan. Pemandangan mahasiswa baru masuk sibuk memunggah barang dengan ditemani waris keluarga khasnya ibu bapa sudah menjadi satu hal yang lumrah. Pada tahun 70-an dan 80-an, ibu bapa walaupun mempunyai sentimen sedih yang sama ketika melepaskan anak mereka menuntut ilmu di menara gading tetapi mereka melepaskan anak-anak dalam zaman yang kita dapat sifatkan masih konservatif, masih belum ada ledakan teknologi maklumat, tanpa ada pelunaran budaya kuning secara melampau yang boleh menggugat aspek keselamatan akhlak dan potensi keilmuan anak-anak mereka. Keadaan sebaiknya berlaku pada zaman globalisasi ini. Kecanggihan teknologi seperti internet mengandungi banyak lambakan nilai buruk yang mudah diperolehi. Pergaulan sosial yang lebih luas dan bebas pula akan membuka jalan kepada pelajar IPT untuk terlibat dalam perlakuan dan eksperimen apa-apa yang diperolehi di internet.


Dalam soal selidik yang dilakukan oleh Mazlin Mohamad Mokhtar dalam kajian mengenai pengetahuan, sikap dan amalan berkaitan kesihatan seksual dan reproduksi di kalangan pelajar kolej dan Universiti pada tahun 2005 telah mendapati bahawa daripada 727 responden pelajar dua buah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan dua buah lagi Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), seramai 50% mengaku pernah melakukan hubungan seks, 80% pula tidak menggunakan bahan kontraseptif. Ini lah antara kesan negatif yang melanda golongan pelajar IPTA dan IPTS hari ini. Kesimpulan yang boleh dibuat ialah puncanya ialah kurangnya nilai akhlak dan adab dalam kehidupan siswa siswi hari ini. Hal ini berkemungkinan adalah disebabkan kurangnya peraturan yang ketat di peringkat Institusi Pengajian Tinggi yang mampu mengekang masalah sosial sebegini. Pelajar terlalu diberi kebebasan yang luas dan berlakulah pergaulan yang semakin bebas .


Akhlak sangat penting dan pengaruhnya sangat besar dalam membentuk perbuatan manusia dan apa sahaja yang lahir daripada manusia itu sendiri, bahkan segala tindak-tanduk manusia sesuai dengan pembawakan dan sifat yang ada dalam jiwanya. Perbuatan manusia mempunyai hubungan yang erat dengan sifat dan pembawaan yang ada dalam hatinya, laksana eratnya hubungan pohon kayu dengan uratnya. Ertinya, baiknya sesuatu perbuatan apabila akhlaknya baik, kerana cabang dari pohon selalu mengikut sifat pohonnya. Maka apabila urat ( akar ) itu rosak tentu cabangnya pun rosak. Allah (swt) berfirman yang bermaksud :

Maksudnya :

Negeri yang baik tanah yang subur, mengeluarkan tumbuh-tumbuhanya yang baik pula dengan izin TuhanNya. Negeri yang tidak subur tanahnya, menghasilkan pula tumbuh-tumbuhan dengan bersusah payah.

( Surah al-A’raf : 58 )


Remaja adalah tahap umur di peringkat pembinaan dan pembentukan. Isu akhlak ini ialah isu yang sangat rapat hubunganya dengan remaja. Remaja pada zaman ini perlu bergaul, perlu berkomunikasi, tidak anti-sosial, daya mobilitinya tinggi, bakatnya subur berkembang. Isunya bagaimana kecenderungan yang fitrah ini dapat disalurkan dengan bijaksana supaya antara kecenderungan atau naluri dengan batas syarak diambil kira. Sekiranya remaja bergaul dengan berlainan gender atau jenis bagi maksud belajar, bertukar-tukar fikiran, bertukar-tukar maklumat atas niat memperkayakan pemikiran, tidak terdedah dengan fitnah, ia diharuskan oleh Islam. Syarak memberikan batas supaya akhlak pergaulan remaja terpelihara. Selalu berlaku apabila pergaulan melampaui batas, nfsu memainkan peranan. Di sinilah bermulanya perkara-perkara negative yang boleh membawa kepada maksiat. Oleh itu, remaja harus beriman supaya ia menjadi benteng apabila bergaul dan berkomunikasi.


Remaja, dalam menjalani hidup yang banyak ujian, dugaan dan pancaroba perlukan pedoman dan bimbingan. Remaja adalah di peringkat terlatih, memerlukan banyak pengalaman dan tunjuk ajar. Sekiranya remaja berakhlak mulia pada zaman remajanya ada harapan pada zaman dewasanya akhlak muliana lebih kukuh lagi. Tetapi sekiranya diperingkat remaja akhlaknya sudah rosak, susah diharapkan zaman dewasanya ia menjadi baik kecuali berlaku keinsafan dan kesedaran kembali ke pangkal jalan semula. Bayangkan remaja yang rosak pemikiran, pergaulan dan cara hidupnya apakah ia ada harapan untuk menjadi ibu bapa yang baik untuk keluarga, ketua dan pemimpin organisasi yang baik untuk kakitangan atau pemimpin atau tokoh yang baik untuk masyarakat. Umat Islam tidak mampu lagi menanggung kerosakan akhlak dikalangan remajanya kerana bayangan kerosakan yang ada akibat pergaulan bebas, keterlibatan dengan dadah dan AIDS, kegilaan kepada cara hidup hedonistic amat menakutkan. Harga untuk dibayar terhadap kerosakan ini terlalu mahal. Ia boleh menyebabkan umat Islam mundur dan terus dijajah. Bukan itu sahaja, kesanya juga akan mengakibatkan masyarakat Islam tidak dihormati oleh masyarakat bukan Islam. Mereka melihat umat Islam sebagai suatu bangsa yang gagal dalam pembentukan tamadunnya. Berbanding jika dibandingkan dengan sejarah kegemilangan Tamadun Islam selepas zaman Khulafa al-Rasyhidin . Islam terlalu agung dan mencapai zaman kegemilangannya dan digeruni pada ketika itu.


Untuk mencapai tahap kesempurnaan peribadi yang mulia ini, Allah telah membekalkan manusia dengan persediaan semulajadi iaitu dengan berbagai-bagai naluri dan akal fikiran serta dihiasi pula dengan berbagai-bagai ilmu pengetahuan yang boleh menjadi pedoman hidup demi kepentingan membina tamadun di muka bumi ini. Oleh kerana kelemahan akal dan keterbatasan dalam menjangkau aspek alam, baik alam realiti mahupun alam ghaib, Allah menurunkan wahyuNya sebagai hidayah mutlak untuk digunakan oleh manusia dalam membina kehidupan dan tamadun serasi dengan nilai-nilai akhlak yang mulia. Di sinilah letaknya peranan risalah yang dibawa melalui Rasulallah (saw) bertujuan untuk membentuk satu dasar akhlak yang mulia dan bersifat mutlak untuk keperluan seluruh manusia.


Sebagai mahkluk ciptaan Allah, dan beragama Islam, kita hendaklah sentiasa mengamalkan segala sifat-sifat mahmudah dan sentiasa menjadikan akhlak Rasulallah sebagai ikutan bagi kita mengaplikasikannya di dalam kehidupan seharian. Konsep akhlak Islam bersifat menyeluruh. Ia meluruskan hubungan antara manusia dengan manusia yang lain, hubungan antara manusia dengan TuhanNya, iaitu Allah (swt), hubungan manusia dengan alam sekeliling dan hubungan manusia dengan dirinya sendiri. Tatacara hubungn ini dijelaskan secara terperinci dalam disiplin akidah, syariat dan ihsan atau akhlak dalam erti kata khusus. Akhlak Islam menjiwai tauhid dan perlaksanaan ubudiyah terhadap Tuhan menurut cara yang wajar. Akhlak Islam juga terkandung dalam peruntukan undang-undang Islam dari segi sistem ganjaran dan hukumannya. Akhlak Islam itu sendiri merupakan disiplin ilmu yang khusus dan terperinci mengatasi gagasan akhlak dalam agama lain. Hanya barangkali komitmen dan penghayatan terhadap nilai-nilai sahaja yang menjadi masalah umat Islam sekarang ini. Huraian tentang hubungan akhlak dengan agama dan usaha-usaha membentuk masyarakat yang berakhlak akan lebih jelas kalau kita mengetahui tujuan pengajaran akhlak dan Islam, induk keutamaan akhlak dan perincian akhlak yang terpuji yang hendak dikembangkan oleh Islam.


Di era kebelakangan ini, akhlak tidak hanya sekadar terma, tapi sudah berkembang menjadi alat ukur, bahkan cara mengukurnya biasanya sangat kuantitatif, dengan skala atau angka. Dan di Negara kita, kita biasa melihat keadaan itu. Pada kad Prestasi Penilaian Murid, bagi murid yang beragama Islam, akhlak menjadi kategori penilaian prestasi belajar. Murid akan diberikan tanda aras terpuji, sederhana dan sebagainya. Entah bagaimana cara nilai-nilai itu ditetapkan. Tetapi kita tahu, anak-anak pada peringkat awal remaja ini cenderung mendapat nilai akhlak tinggi jika mengikuti anjuran pengajarnya, misalnya mengucap “ assalamualaikum “, ketika bertemu dan berpisah dengan guru, membaca “bismillahirahmanrrahim”, ketika mulai menulis, menggunakan tangan kanan jika menerima atau memberikan sesuatu, tidak menggunakan kata-kata dasar saat berbicara dan sebagainya. Dari sini apa yang boleh disimpulkan ialah akhlak yang baik itu perlulah dididik dan diasah dari peringkat yang paling awal, kerana tiap anak yang dilahirkan itu adalah bersih umpama kain putih, terpulanglah kepada ibu bapa bagaimana untuk mencoraknya. Sehubungan dengan itu maka pembentungan seseorang mestilah bermula daripada alam kanak-kanak lagi yang ditekankan pendidikanya bukannya dilepaskan memilih sendiri haluan hidup dengan jiwanya yang kosong kerana ini akan merosakkan anak itu sendiri.


Dari sudut lain pula, akhlak itu dapatlah dikatakan sebagai kumpulan sifar yang lahir daripada dalam jiwa, dan berdasarkan dorongan dan pertimbangan sifat itu, suatu perbuatan itu dapat dikatakan baik atau buruk menurut pandangan manusia. Dengan sifat itu, seseorang dapat melaksanakan atau meninggalkan perbuatanya. Antara sifat-sifat yang baik dan sifat-sifat yang tidak baik itu dapat dinyatakan seperti berikut :

Akhlak yang baik umpamanya benar, amanah, menepati janji, sabar, pemaaf, pemurah dan lain-lain. Akhlak yang tidak baikialah sombong, takbur, dengki, dendam, mengadu domba, mengumpat, riak, khianat dan sebagainya. Akhlak itu perlu dipelajari agar dapat diketahui mana sifat yang baik dan yang buruk, mana yang boleh dikerjakan dan yang mana tidak boleh dikerjakan. Dalam satu hadis Nabi Muhammad (saw) menyatakan akhlak yang baik itu dapat memberatkan timbangan amal kita di padang Mahsyar. Ini adalah kerana beraklah mulia ini dianggap sebagai melakukan amalan yang baik dan yang mendapat pahala. Sabda Nabi Muhammad (saw) yang bermaksud :

Sesungguhnya akhlak yang baik itu suatu yang sangat berat diletakkan di atas Mizan ( neraca timbangan ) . ( Riwayat Abu Daud dan Tarmizi )


Walaubagaimanapun, menurut pandangan Imam Ghazali, manusia yang dilahirkan itu telah mempunyai budi pekerti yang baik seperti fitrahnya di mana tidak memerlukan kepada pendidikan dan pengajaran seperti Nabi Isa, Yahya dan para nabi yang lain dan ianya merupakna satu keistimewaan. Sedangkan manusia yang lain hanya mencapai budi pekerti yang baik jika dia berusaha ke arah itu di mana hanya sedikit anak-anak yang dilahirkan dalam keadaan mereka itu benar, fasih berbicara, pemurah dan berani. Sehubungan dengan itu, pendekatan yang dipilih oleh Iman Ghazali dalam membentuk budi pekerti ialah dinamakan takhalluk yang bererti sentiasa mendorong jiwa itu kepada perbuatan-perbuatan yang bersesuaian dengan akhlak yang dimiliki.


Secara keseluruhanya, dapatlah disimpulkan bahawa proses membina masyarakat yang bertamadun perlulah dalam bentuk yang seimbang yang meliputi aspek pembangunan minda, akhlak dan tidak langsung mengenepikan aspek kemajuan kebendaan. Akhlak yang baik dapat melahirkan masyarakat yang cemerlang sementara masyarakat yang mempunyai nilai akhlak yang rendah tidak boleh dianggap sebagai masyarakat yang baik dan mulia walaupun mempunyai kemajuan yang tinggi dalam pelbagai bidang. Ukurannya cukup jelas, peranan akhlak begitu besar dalam menjamin kelangsungan kegemilangan Tamadun Islam dan di sinilah bezanya masyarakat Islam dan masyarakat bukan Islam. Di mana masyarakat bukan Islam tidak langsung menitikberatkan soal moral dan tidak menjadikan soal akidah sebagai peraturan hidup mereka sementara bagi ajaran Islam, keberkatan dan keseimbangan hidup adalah aspek yang penting.


Sebagai makluk ciptaan Allah dan beragama Islam, kita hendaklah sentiasa mengamalkan segala sifat-sifat mahmudah dan sentiasa menjadikan akhlak Rasulallah (saw) sebagai ikutan bagi kita mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian kita.

No comments:

Post a Comment