Tuesday, July 27, 2010

PENGURUSAN JENAZAH


PENDAHULUAN

Kematian adalah sesuatu yang perlu dihadapi oleh semua orang. Ia merupakan permulaan kepada kehidupan yang abadi. Setiap orang pasti akan menghadapi saat kematian, Cuma kita tidak tahu bilakah masanya kita akan menemui ajal. Ada orang yang mati kerana sakit, kemalangan, kematian mengejut dan sebagainya. Mati bermaksud apabila bercerainya roh daripada badan.


Maksud firman Allah s.w.t:

“ Setiap yang bernyawa akan merasai mati dan sesugguhnya pahala kamu akan dibalas di hari Kiamat ”

(Surah Ali Imran, ayat 185)

Oleh sebab itu, setiap orang terutamanya umat Islam, perlu mengetahui cara-cara pengurusan jenazah terhadap orang yang telah mati. Pengurusan jenazah adalah satu tanggungjawab umat Islam dan merupakan fardu kifayah terhadap pengurusannya.

Rasullullah S.A.W bersabda:

“ Barangsiapa memandikan (jenazah) seorang muslim seraya menyembunyikan (aib)nya dengan baik, maka Allah akan memberikan keampunan empat puluh kali kepadanya. Barangsiapa membuatkan lubang untuknya lalu menutupinya, maka akan diberikan pahala seperti pahala orang yang memberikan tempat tinggal kepadanya sampai hari kiamat kelak. Barangsiapa mengkafaninya, nescaya Allah akan memakaikannya sundus (pakaian dari kaion sutera nipis dan istabraq (pakaian sutera tebal) Syurga dihari kiamat kelak ”

Pada masa kini, tidak ramai yang tahu tentang cara pengurusan jenazah dengan betul. Bayangkan apabila ada ahli keluarga atau saudara terdekat kita yang meninggal dunia, maka segala urusan jenazah hendaklah kita uruskan. Adalah menjadi tanggungjawab ahli keluarga yang terdekat untuk menguruskannya dan bagaimana untuk kita uruskannya sekiranya kita sendiri tidak mengetahui cara pengurusan jenazah dengan betul. Oleh sebab itu, kita perlu sentiasa bersedia dan tahu cara untuk menguruskan jenazah agar tidak memberikan masalah sekiranya ada berlaku kematian dikalangan ahli keluarga kita sendiri kelak.


ORANG YANG BERHAK MENGURUSKAN JENAZAH

Orang yang berhak untuk menguruskan jenazahharuslah terdiri dari kalangan keluarganya ataupun warisnya. Bagi jenazah lelaki, jenazahnya boleh diuruskan oleh orang yang ditunjukkan oleh si mati sebelum wafatnya (berdasarkan wasiatnya) atau ayahnya sendiri, kemudian anak-anak lelakinya atau keluarga terdekat. Bagi jenazah wanita, juga boleh diuruskan oleh orang yang ditunjukkan oleh si mati sebelum wafatnya (berdasarkan wasiatnya, atau diuruskan oleh ibunya sendiri, kemudian anak-anak wanitanya dan diikuti oleh keluarga terdekat.

Begitu juga perihal antara suami isteri. Si suami boleh uruskan jenazah isterinya, dan begitu juga sebaliknya. Bagi jenazah kanak-kanak yang belum baligh, boleh diuruskan oleh kaum lelaki atau wanita kerana tiada batasan aurat bagi mereka. Namun demikian, sekiranya terdapat seorang lelaki yang telah meninggal dunia, dan hanya ada dikalangan itu kaum wanita sahaja tanpa ada lelaki muslim bersama termasuk isteri dan ibunya, maka cukup dengan ditayamumkan sahaja. Begitu juga jika berlaku perkara sebaliknya. Perlu diingatkan bahawa seorang muslim tidak boleh menguruskan jenazah orang kafir.


PERKARA YANG PERLU DIURUSKAN OLEH WARIS

Bagi waris, terdapat beberapa perkara yang perlu dilakukan sebelum jenazah itu diuruskan sepenuhnya. Waris perlulah melaporkan kematian d ibalai polis berhampiran bagi melancarkan urusan-urusan yang lain. Waris juga perlu membeli kelengkapan untuk urusan memandi dan mengkafankan mayat. Selain daripada itu, waris perlu menentukan bilal untuk emandikan mayat dan imam untuk urusan sembahyang. Perkara-perkara lain yang perlu diuruskan ialah menentukan tempat iaitu kubur, menguruskan kenderaan jenazah, memaklumkan kepada ahli keluarga dan sahabat yang mengenali jenazah.


SIFAT-SIFAT YANG PERLU ADA PADA ORANG YANG MENGURUSKAN JENAZAH

Bukan semua orang mampu uruskan jenazah. Antara sifat-sifat yang perlu ada dalam diri orang yang menguruskan jenazah ialah mempunyai sifat berani, yakni boleh menghadapi apa jua jenis jenazah yang ada. Sabar juga perlu ada kerana akan menghadapi jenazah yang pelbagai keadaan dan perlu amanah menjaga segala keaiban orang lain serta mempunyai kemahiran serta ilmu yang cukup.


BARANG-BARANG YANG DIPERLUKAN UNTUK MEMANDIKAN JENAZAH

Sebelum memandikan jenazah, beberapa barang keperluan perlu disediakan. Antara barang yang perlu disediakan ialah:

Ø Tempat memandikan jenazah

Ø Sabun mandi

Ø Air daun bidara

Ø Air bersih

Ø Sugi ( 7 batang)

Ø Sarung tangan

Ø Kapas

Ø Air kapur barus

Ø Baldi serta gayung



MANDI JENAZAH


a) Hukum dan Syarat

Mengikut hukum syarak, telah diterangkan didalam hadis yang bermaksud:

Dari Umu ‘Athiah al-Ansariah r.a. berkata: Rasulullah s.a.w masuk ke tempat kami ketika anak perempuannya wafat lalu bersabda: “Mandikanlah ia 3 kali atau 5 kali atau lebih dari itu, jika kamu pandang elok tambahan yang demikian, iaitu dengan air dan serbuk daun bidara, dan campurkan sedikit kapur barus pada kali yang akhir, setelah kamu selesai memandikannya beritahu kepadaku”.

Setelah selesai, kami pun memberitahu kepada baginda, lalu baginda member kami kain sarungnya sambil bersabda: “ Balutlah badannya dengan kain ini”

(Riwayat Bukhari dan Muslim)


b) Tempat Mandi

Untuk memandikan jenazah, perlulah dibuat ditempat yang tertutup dan mayat diletakkan di atas tempat yang tinggi sedikit. Selain itu, wajib untuk kita menutup aurat mayat dengan menutup dengan kain supaya tidak kelihatan warna kulit. Juga disunatkan untuk menutup muka mayat ( juga ketika dibawa ke tempat mandi), dan diletakkan terlentang di atas papan mandi dan menghadap arah kiblat.


c) Tertib Mandi

Untuk memandikan mayat, hendaklah mengikut tertib mandi yang telah ditetapkan:

i. menjirus dan menggosok jenazah dengan lemah lembut, tidak gopoh dan juga kasar.

ii. Tidak sengaja untuk cuba melihat aurat mayat dimana semasa memandikan mayat hendaklah menutup badannya supaya aurat terlindung. Oleh sebab itu, , eloklah dalam sehelai kain sarung nipis supaya air meresap masuk dan mudah pula bagi orang yang memandikan untuk memasukkan tangan bagi membersihkan mana-mana bahagian mayat yang perlu dibersihkan.

iii. Mayat lelaki hendaklah dibersihkan oleh orang lelaki dan begitulah sebaliknya.

iv. Orang yang hendak memandikan mayat haruslah seorang yang amanah supaya mereka dapat menjalankan tugas dengan sempurna dan dapat menyimpan rahsia keaiban yang ada pada mayat.

v. Tidak membuat bising ketika memandikan mayat.


d) Cara Mandi

Menurut satu riwayat, Rasulullah s.a.w bersabda:

“mandikanlah dia (beberapa kali) asalkan ganjil bilangan: ttiga atau lima atau tujuh, dan mulakanlah dengan bahagian kanan badannya dan anggota-anggota wudhu”

(ummu Athiah) berkata: “ sesudah itu kami pun jalinkan rambutnya: tiga tocang, lalu kami hulurkan ke sebelah belakangnya ”

(Riwayat Bukhari dan Muslim)


Berikut diceritakan cara untuk memandikan jenazah:

· Hendaklah dibersihkan najis mayat dan segala kotoran yang terlekat pada badan atau kuku mayat. Selain itu, hendaklah juga dibersihkan atau dikosongkan perut mayat terlebih dahulu, sekiranya terdapat benda-benda kotor yang boleh keluar, agar tidak akan keluar sesudah ia mandi dan dikafankan. Caranya adalah dengan dudukkan mayat ( diatas papan mandi ) dalam keadaan condong sedikit ke belakang dan menahan belakangnya dengan lutut kanan sambil memegang belikatnya dengan tangan kanan (diletakkan ibu jari ditengah-tengah tengkuknya supaya kepalanya tegak ) dan diurut perutnya perlahan-lahan dengan tangan kiri dan disiram dengan air yang banyak agar dapat membersihkan segala benda yang keluar.

· Apabila telah dikosongkan perut dan dibersihkan benda yang keluar, hendaklah ditelentangkan semula mayat itu di atas papan mandi dan dicebokkan oleh orang yang memandikannya dengan membersih kemaluan dan celah-celahnya ( menggunakan sarung tangan.

· Setelah itu, perlu dibersihkan gigi mayat, lubang hidungnya, lubang telinga dan celah-celah kukunya. Setelah itu, perlu diwudukkan dengan sempurna dan kemudian dimandikan dari bahagian kepala sehingga hujung kaki.

· Mayat haruslah dimandikan dengan air sabun yakni dibasuh seluruh kepala, muka dan lehernya sebanyak 3 kali, diikuti basuh sebelah kanan meliputi ketiak, bahu, tangan kanan, dada, rusuk, perut, kemaluan, celah-celah kelangkang dan paha kanan hingga hujung kaki sebanyak 3 kali dan seterusnya basuh sebelah kiri mengikut tertib sebelah kanan itu tadi.

· Memandikan mayat dengan air sabun, adalah memadai hanya satu kali sahaja.

· Setelah itu, hendaklah dibasuh dengan menggunakan air bersih atau air mutlak. Cara mandi dengan air bersih adalah sama seperti mandi dengan air sabun, dimana tujuannya adalah untuk membersihkan segala air sabun itu tadi.

· Setelah diyakini bahawa mayat tersebut telah bersih, maka perlulah diwudhukan dengan niat: “ Sahaja aku wudhukan mayat ini kerana Allah”

Lafaz niat bagi lelaki: “ Nawaitu wudhu an hazal maiti lillahi ta’ala ”

Lafaz niat bagi perempuan: “ Nawaitu wudhu an hazihil maitati lillahi ta’ala ”

· Setelah itu, air bersih tadi akan dicampurkan sedikit dengan air kapur barus dan dijirus sunat dengan niat: “ Sahaja aku mandi mayat ini kerana Allah”

Lafaz niat bagi lelaki: “ Nawaitu ghusl’ an hazal maiti lillahi ta’ala ”

Lafaz niat bagi perempuan: “ Nawaitu ghusl’ an hazihil maitati lillahi ta’ala ”

· Proses mandi dengan air ini juga adalah sama seperti mandi air sabun dan air bersih. Kemudian, diulang 2 kali dengan menambah kapur barus lebih tua sedikit supaya baunya lebih keras. Semasa menjirus, sunat untuk membaca:

“ Ghuffranak rabbana rahman wailakal masir”

· Secara keseluruhannya, dapat disimpulkan jumlah mandi mayat adalah sebanya 5 kali iaitu 1 kali mandi air sabun, 1 kali mandi air bersih dan 3 kali mandi dengan air kapur barus.



BARANG-BARANG YANG DIPERLUKAN UNTUK MENGKAFANKAN JENAZAH

Ø Kain putih

Ø Gunting

Ø Kapas

Ø Cendana

Ø Kapur barus

Ø Air mawar

Ø Minyak wangi (attar)

Ø Tikar jerami



KAFAN JENAZAH


a) Hukum mengkafankan jenazah

Hukum syarak mengenai mengkafankan mayat diterangkan dalam hadith berikut:

Dari Aishah r.a katanya:

“Rasulullah s.a.w (semasa wafatnya) telah dikafankan dalam tiga helai kain putih dari kapas yang tidak mengandungi baju kamis dan tidak juga serban”

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Semasa hayat Rasulullah s.a.w, beliau telah menrangkan bahawa sebaik-baik pakaian ialah yang berwarna putih yang mana ia adalah lambing kepada kebersihan dan kesucian dan begitu juga dengan kain kafan.


b) Cara mengkafan

Mengikut kata ulama, kain kafan yang wajib adalah sehelai kain yang dapt menutup aurat dan membalut tubuh mayat itu. Begitupun, adalah sunat bagi lelaki 3 lapisan kain dan 5 lapisan kain untuk wanita.

Mayat bagi seorang lelaki juga tidak seharusnya dikafankan dengan menggunakan kain sutera kerana ia adalah haram, sebaliknya bagi wanita ia adalah boleh.

Sekiranya sukar untuk mendapatkan kain seperti didalam keadaan darurat, maka mayat boleh dikafankan dengan sebarang benda yang boleh membalut tubuh seperti tikar, daun-daun pokok dan sebagainya.

Berikut diterangkan cara-cara untuk mengkafankan jenazah:

i. Sediakan tiga lembar kain kafan dan dibentangkan. Kain yang paling lebar akan diletakkan dibahagian bawah atau dengan cara kain tiga lembar dibentangkan dan letaknya agak serong dimana yang atas melebar dan yang bawah mengecil. Setiap lembar kain disapu dengan wangi-wangian atau minyak wangi yang tidak mengandungi alkohol.

ii. Sediakan tali pengikat sebanyak tiga atau lima utas yang diletakkan dibawah kain kafan tersebut.

iii. Sediakan kapas yang disapu dengan wangi-wangian dan kayu cendana yang digunakan untuk menutup antara lain kemaluan, wajah, kedua-dua buah dada, telinga, siku tangannya, tumitnya.

iv. Setelah itu, angkatlah mayat tersebut dengan berhati-hati dan dibaringkan diatas kain kafan yang telah dibentangkan.

v. Hendaklah ditutup mayat tadi dengan kapas yang telah disediakan pada bahagian-bahagian yang telah disebutkan.

vi. Hendaklah kain kafan terseut diselimutkan atau ditutupkan dari lembar paling atas, sehinggalah ke lembar paling bawah dan diikat dengan tali. Semua tali pengikat mayat hendaklah disimpul hidup disebelah kiri. Sebelum diikat dibahagian kepala, benarkan warisnya melihat atau menciumnya untuk kali terakhir. Sebaiknya, tulislah kalimah ALLAH dan MUHAMMAD di dahi mayat dengan menggunakan minyak wangi. Setelah itu, ikatlah hujung keepala dan renjislah dengan air mawar dan disapu minyak wangi.


SOLAT JENAZAH

Solat jenazah adalah solat yang dilakukan oleh orang yang masih hidup kepada orang yang telah mati. Tujuan solat jenazah dilakukan adalah untuk memohon keampunan, keredhaan serta rahmat Allah kepada si mati. Selain itu, solat jenazah ini adalah sebagai penghormatan terakhir seorang muslim terhadap saudara seagamanya.

Syarat-syarat sah solat jenazah ialah:

· Jenazah telah dimandikan

· Jenazah telah dikafankan

· Jenazah berada di hadapan orang yang solat

· Jenazah menghadap kiblat

Rukun solat jenazah:

i. Niat semasa takbir pertama


Bermaksud: “ sahaja aku menunaikan solat ke atas mayat ini 4 takbir fardhu kifayah menjadi imam/makmum kerana Allah Taala ”

Niat bagi kanak-kanak lelaki / perempuan


Bermaksud: “ Sahaja aku sembahyang ke atas mayat kanak-kanak lelaki/ perempuan yang hadir fardhu kifayah empat takbir kerana Allah Taala ”


ii. Berdiri bagi yang mampu

iii. Empat kali takbir

iv. Membaca surah al fatihah selepas takbir pertama

v. Berselawat ke atas nabi selepas takbir kedua



vi. Mendoakan mayat selepas takbir ketiga



vii. Memberi salam selepas takbir yang keempat



Kedudukan mayat:

Kedudukan imam ketika solat jenazah lelaki adalah bersetentangan dengan kepala jenazah iaitu kepalanya disebelah kiri imam. Bagi jenazah perempuan, kedudkan imam ketika solat adalah bersetentangan dengan pinggang jenazah dan kepalanya disebelah kanan imam.


Hikmah Solat Jenazah

Ada banyak hikmah disebalik solat jenazah. Antaranya ialah untuk memberikan penghormatan dan tanda kasih sayang kepada si mati. Dengan melakukan solat jenazah, secara tidak langsung kita boleh memohon rahmat dan keampunan untuk si mati. Selain itu, ia adalah untuk menimbulkan keinsafan kepada orang yang masih hidup.


____________________________________________________________________

Rujukan:

http://www.scribd.com/doc/18020782/Nota-Pengurusan-jenazah

http://www.islam.gov.my/avod/e-jenazah/index.html

http://dzulnain.tripod.com/syumul/jenazah/jenazah.htm

http://www.slideshare.net/guest2ed9896/solat-jenazah-1161434

http://www.slideshare.net/tiung12a/ringkasan-jenazah-presentation

http://www.slideshare.net/IzahAziz/kematian