Wednesday, January 19, 2011

PENULISAN JURNAL - MINGGU PERTAMA

MASALAH


Pada minggu pertama saya menjalani praktikal di Program Pendidikan Khas Integrasi Sekolah Kebangsaan Alor Pongsu, saya telah mengenal pasti seorang murid dari kelas 1 bernama Nor Asyikin binti Mohammad Sulaiman yang sering mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran ( P & P ) di jalankan. Murid ini merupakan murid baru sahaja masuk ke program pendidikan khas integrasi sekolah kebangsaan alor pongsu dan berusia 7 tahun. Sebelum ini, murid telah mendapat pendidikan peringkat kelas khas prasekolah pembelajaran di SK Bagan Serai, Bagan Serai Perak. Menurut daripada sumber maklumat daripada bekas guru murid ini, Nor Asyikin tidak menunjukkan tingkah laku negatif iaitu menangis di dalam kelas.


Tingkah laku murid ini bukan sahaja menggangu proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas saya sahaja, mala berlaku pada kelas – kelas waktu guru lain. Tingkah laku bermasalah merupakan tingkah laku yang tidak normal dan terkeluar dari nilai dan norma sosial masyarakat, termasuk di sekolah. Dalam pada itu, saya percaya bahawa murid ini masih kecil maka unsur emosi tidak stabil mesti wujud. Walau bagaimanapun sifat emosi tidak stabil ini tidak bolah dibenarkan kerana menjejaskan proses P & P.


Menurut Mohd. Nazar Mohamad(1990),

“Di bawah konteks pendidikan, tingkah laku bermasalah ialah tingkah laku yang menjejaskan kelicinan proses P & P, khasnya di dalam bilik darjah.”


Shrigley (Levin & Nolan, 2004) pula menegaskan bahawa,

“apa juga tingkah laku yang mengganggu pengajaran atau yang bersifat tidak selamat dari segi psikologi mahupun fizikal boleh ditakrifkan sebagai tingkah laku disruptif. Perbuatan seperti berbual, membuat bising, menangis, berbaring atau berlari di dalam kelas merupakan tingkah laku bermasalah di dalam bilik darjah.


Saya ingin membawa perubahan yang baik di dalam kelas 1 yang saya ajar terutamanya pada Nor Asyikin binti Mohammad Sulaiman. Saya tidak mahu keadaan murid yang tidak dapat dikawal sehingga mengganggu proses P & P terus berlaku. Saya ingin mewujudkan keadaan kelas yang terkawal dan semua murid akan mendengar setiap arahan yang saya kemukakan serta dapat melaksanakan segala aktiviti berbentuk fizikal atau mental dengan lancar. Apabila hadir murid yang tidak dapat mengawal tingkah laku mereka, ini bukan sahaja memberi impak kepasa individu terbabit tetapi juga memberi kesan kepada murid lain kerana murid lain tidak dapat menguasai kemahiran yang diajar pada hari itu dan masa terbuang untuk melayan karenah murid yang mempunyai masalah tingkah laku terbabit.



ANALISIS MASALAH

Saya terpaksa mengkaji apakah punca-punca yang menyebabkan murid terbabit asyik menangis di dalam kelas serta tidak memberi tumpuan kepada pengajaran saya. Beberapa persoalan bermain di fikiran saya iaitu:

i) Apakah masalah murid ini?

ii) Apakah murid ini takut dengan saya?

iii) Adakah pengajaran dan pembelajaran saya kurang menarik?

iv) Apakah punca murid kurang berminat dengan pengajaran saya?

v) Bagaimana cara saya mengatasi masalah ini?

vi) Kenapa ini berlaku dalam pengajaran saya?

vii) Adakah saya menjadi punca masalah?

viii) Apakah faktor lain yang mendorong masalah ini?


Berikut adalah hasil daripada pemerhatian dan soal selidik yang telah saya jalankan iaitu:

i) Murid merasa tidak selamat bila ketiadaan ibu bapa atau penjaga.

ii) Suasana persekitaran yang baru membuatkan murid rasa tidak selesa sama ada berhadapan dengan murid – murid baru, guru baru, pembantu pengurusan murid baru dan kawasan pembelajaran yang berbeza daripada sekolah sebelumnya.

iii) Murid merasa terasing dengan persekitaran kelas yang baru walaupun di temani kawan-kawan, guru ataupun pembantu pengurusan murid.

iv) Murid tidak mengendahkan arahan guru


Namun saya percaya selain dari sikap murid yang gagal mengawal tingkah laku kendiri, murid tidak mempunyai semangat dan mengalami masalah terencat akal dimana keadaan ini juga berlaku disebabkan oleh tahap umur murid yang belum mencapai kematangan dan masalah dalaman. Mengikut teori kematangan Gesell (1880-1961),


“ciri-ciri tertentu akan muncul bila tiba peringkat kematangan yang bersesuaian. Sekiranya otot saraf, otak dan tulang tidak bersedia atau tidak matang, peluang-peluang yang diberikan kepada kanak – kanak untuk belajar sesuatu kemahiran tidak akan mencapai hasil yang positif”


Dari perspektif yang lain saya boleh melihat kelakuan Nor Asyikin ini memberi satu cabaran yang besar untuk merialisasikan matlamat sebagai seorang guru bagi memikul tanggungjawab agar membolehkan murid ini bersedia dalam alam persekolahan.



CADANGAN


Untuk mengelakkan masalah tingkah laku sewaktu pengajaran dan pembelajaan berlangsung, saya telah menemui beberapa strategi pembelajaran bilik darjah iaitu;


i) Menggunakan kaedah Komunikasi Interpersonal – Mencuri perhatian murid dengan membina perhubungan baik dengan Nor Asyikin dimana kebiasaan murid mahu individu di persekitaran mereka mempunyai keupayaan untuk merasai sebagaimana situasi murid itu rasai dan menganggap individu di persekitarannya sebagai rangka rujukan. Ini boleh dilakukan dengan memberi perhatian kepada murid dan menarik minat murid memberikan tumpuan untuk menghadirkan diri dalam proses pengajaran. Kaedah pujukan merupakan satu ungkapan yang mampu menenangkan keadaan murid dan menaikkan motivasi perasaan ceria di dalam diri Nor Asyikin. Menurut Bittner dalam Binacawati, Mawardi dan de Queljoe(1999, h.194). “Komunikasi interpersonal yang baik akan membuat interaksi dengan orang lain menyenangkan dan penuh pengalaman yang nyaman”



ii) Memberi ganjaran atau peneguhan untuk setiap respon murid. Menurut Rachlin(1991), “peneguhan diberi untuk memuaskan kehendak individu dan mengurangkan tekanan atau meransang otak.” Contohnya pujian, tepukan, bahasa tubuh yang sesuai ataupun pemberian makanan.



iii) Menentukan persekitaran yang sesuai untuk pembelajaran. Di dalam teori pembelajaran Humanis yang menfokuskan kepada kemanusiaan, keperluan afektif dan bebas mengimplikasikan guru perlu membentuk iklim bilik darjah yang kondusif. Menurut Prof. Atan Long(1980), “keadaan dan suasana sekolah atau kelas menimbulkan keadaan yang tidak selesa akan menyebabkan masalah tingkah laku murid.”



iv) Sentiasa menilai aspek kesediaan pelajar belajar dengan membuat set induksi yang menarik minat murid seperti menyanyi, berlakon ataupun bermain dan selain itu menggunakan suara yang jelas tetapi mesra dengan murid untuk mengwujudkan rasa kasih sayang antara guru dan murid.



v) Menyediakan aktiviti atau alat bantu mengajar yang baik dan menarik sesuai untuk semua murid. Ini termasuk alat bantu mengajar yang bersifat permainan atau kuiz. Menurut Dunhill(1965), “alat bantu mengajar yang tidak menarik, cara penyampaian guru yang monotone dan sukar difahami oleh murid akan menyebabkan murid tidak berminat dengan pengajaran dan pembelajaran.”


vi) Variasikan dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran dimana merancang aktiviti murid dengan mengambil kira minat murid yang berbeza. Penggunaan stesen dalam aktiviti juga boleh merangsang sifat murid untuk menghabiskan sesuatu tugasan secepatnya untuk meneruskan aktiviti selanjutnya. Dengan ini, dapat mengawal tingkah laku murid tadi daripada suka menangis di dalam kelas kepada sifat periang di dalam kelas.


vii) Dendaan persembahan atau dendaan penyingkiran. Kaedah ini boleh dilakukan sekiranya perlu. Ini bertujuan untuk menyedarkan murid bahawa setiap kesalahan harus di berikan hukuman tetapi hukuman haruslah satu hukuman yang bukan meninggalkan kesah negatif pada murid.


Beberapa kaedah dan teknik pengajaran yang sesuai untuk murid ialah;

i) Belajar sambil bermain. Terdapat empat jenis pengajaran permainan iaitu manipulatif, dramatik, fizikal dan perlawanan.

Contoh; cantuman gambar, teka teki, cari benda tersembunyi, permainan nombor, teka silang kata


ii) Sumbangsaran

Merupakan satu sesi perbincangan yang membolehkan setiap individu menyumbangkan pendapat dan idea. Kaedah ini juga menekankan pengeluaran idea daripada pembelajaran yang kreatif dan bukan pembelajaran secara analitis.


iii) Bercerita

Kaedah bercerita merupakan sesuatu yang dapat menarik minat dan perhatian pelajar. Suara memainkan peranan yang penting dimana ia harus dikawal supaya jangan mendatar dan tidak menimbulkan kebosanan.


iv) Demonstrasi

a. Sebelum demonstrasi – topic, objektif, alatan, radas, tujuan demonstrasi.

b. Semasa demonstrasi – guru memandang murid, menerangkan, menyoal,

murid melihat dsb.

c. Selepas demonstrasi – bincangkan bahagian demonstrasi yang penting,

tujuan demonstrasi dan aktiviti pengukuhan.

d. Jenis-jenis tunjuk cara – model hidup, model simbolik dan model persepsi.


v) Penggabungjalinan

Contoh Pendidikan Muzik, Pendidikan Seni Visual, Pendidikan Jasmani dan Kesihatan



TEMPOH PENYELESAIAN

10 Januari hingga 21 Januari 2011 ( 2 Minggu )


TINDAKAN SUSULAN


Pada minggu ini, saya telah mengasingkan Nor Asyikin yang kerap mendatangkan masalah iaitu menganggu P & P semasa di jalankan seperti menangis dalam kadar masa yang lama. Tujuan pengasingan adalah untuk memberi lebih banyak perhatian kepada Nor Asyikin. Antara strategi yang saya gunakan ialah teknik bercerita dan bergurau sambil belajar. Pada 2 minggu pertama ini, Nor Asyikin lebih banyak menghabiskan masa bercerita dengan saya dan kurang mengganggu rakan lain yang sedang menyiapkan kerja. Ini dapat mengurangkan kadar ketengangan emosi murid. Menurut Carl Rogers(1999),


“seseorang individu bertingkah laku mengikut persepsi diri dan keadaan. Sekiranya keadaan tidak selesa maka murid akan menunjukkan perubahan tingkah laku dan mengganggu pengajaran dan pembelajaran.”


Saya juga telah memperbanyakkan penggunaan Bahan Bantu Mengajar (BBM) untuk menarik Nor Asyikin dan murid yang lain untuk menyertai aktiviti pembelajaran. Oleh kerana kebiasaan murid – murid gemar dengan muzik, saya juga telah menerapkan unsur – unsur seni dan muzik di dalam P & P yang saya lakukan. Ini sangat membantu untuk menaikkan perasaan gembira murid – murid terutamanya Nor Asyikin.


PENILAIAN KEJAYAAN


Tindakan – tindakan yang saya lakukan menampakkan hasil di mana Nor Asyikin sudah mampu membiasakan diri dengan situasi persekolahan terutamanya di dalam kelas saya. Nor Asyikin juga memberitahu kepada guru – guru lain yang dia lebih selesa belajar dan berinteraksi dengan saya. Daripada pengamatan saya, seorang guru harus bijak menarik perhatian murid selain mampu menghasilkan pengajaran dan pembelajaran yang kreatif. Pada Kelas Seri Kasih 1 ini, terumatanya Nor Asyikin, lebih tertarik kepada pengajaran bersifat aktiviti dari pengajaran secara langsung. Sesuai dengan umur Nor Asyikin yang baru sahaja berusia 7 tahun.


Setiap kali perubahan yang kita lakukan adalah satu perkara yang sukar untuk di terima oleh kanak – kanak. Maka sebagai seorang guru, haruslah bijak membuat penilaian agar pengalaman yang sedia ada murid ini iaitu Nor Asyikin di kelas khas prasekolah pembelajaran di SK Bagan Serai, Bagan Serai Perak. dapat di gunakan untuk membantu menarik minat murid. Menurut Slavin (1991),

“pembelajaran adalah perubahan pada individu hasil daripada pengalaman.”


Tambahan lagi, saya akan cuba mempelbagaikan lagi permainan dan menghasilkan bahan bantu mengajar yang kreatif bagi memadankan dengan usia dan tahap murid saya dan menyesuaikannya dengan matapelajaran yang saya ajar.